Warga emas buat onar, bakar rumah sewa

Warga emas buat onar, bakar rumah sewa

JOHOR BAHRU – Seorang penyewa yang diarahkan keluar rumah oleh pemilik rumah sewa berkenaan selewatnya hari ini bertindak membakar kediaman itu, tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I, Mohd. Suhaimi Abdul Jamal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran di Jalan Maju 3, Taman Pelangi, di sini itu pada pukul 12.10 tengah malam.

Katanya, sehubungan itu 23 anggota beserta lima buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Difahamkan, kebakaran berpunca apabila penyewa rumah, iaitu seorang lelaki berusia 60-an bertindak membakar rumah berkenaan pada hari terakhir dia mendiami rumah itu setelah pemilik rumah memintanya mengosongkan kediaman itu.

“Saksi yang merupakan jiran memaklumkannya kepada bomba suspek membakar rumah itu bermula dari ruang tamu sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kebakaran itu memusnahkan 80 peratus daripada rumah berkenaan, selain turut merebak ke rumah sebelah yang terbakar kira-kira 10 peratus.

Tambah beliau, bomba menamatkan operasi pada pukul 1.44 pagi sebelum kembali ke balai namun menerima panggilan memaklumkan suspek cuba membakar rumah berkenaan sekali lagi.

“Anggota kemudian bergegas ke lokasi semula sebelum menemukan suspek yang bertindak menghalang bomba untuk memadamkan kebakaran.

“Ekoran itu, bomba terpaksa menahan suspek sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Mohd. Suhaimi turut memberitahu, kebakaran itu tidak melibatkan mana-mana mangsa dan suspek tinggal seorang diri, manakala anak dan isterinya berada di Singapura.

“Suspek juga dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental,” katanya lagi.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan mengesahkan penahanan suspek dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan. | KO

COMMENTS