Wanita menyusup masuk kawasan PKPD jumpa nenek

Wanita menyusup masuk kawasan PKPD jumpa nenek

PETALING JAYA : Tindakan seorang wanita memasuki kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sebuah PPR di kawasan Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam, di sini, kerana ingin menziarah neneknya mengundang padah apabila dia diburu pihak berkuasa.

Video memaparkan wanita menyusup ke kawasan PKPD pada mulannya tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, laporan polis sudah dibuat kira-kira pukul 10.51 malam tadi berkaitan video terbabit.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati video berdurasi kira-kira 30 saat itu dikesan pada pukul 9 malam tadi oleh pegawai kanan polis ditugaskan menjaga kawasan PKPD berkenaan.

“Suspek di dalam video ini memakai baju warna gelap dan seluar putih dilihat menyusup masuk seorang diri ke dalam kawasan PPR itu melalui pagar berduri jenis dawai besi yang diletakkan di sekeliling blok.

“Saksi awam yang memuat naik video berkenaan dalam media sosial mengaku merakamkan video ini pada pukul 6.15 petang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Anuar, suspek disyaki menetap di Puchong yang mana dia dipercayai masuk ke dalam kawasan PKPD untuk menziarah neneknya.

“Usaha mengesan individu terbabit sedang giat dijalankan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular ini berikutan bimbang mewujudkan kegusaran orang awam dan hendaklah mematuhi semua peraturan yang ditetapkan kerajaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, tegas beliau, sebarang perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya | UM

COMMENTS