Wanita Mali Dijangka Hamil 7 Bayi, Rupanya Selamat Bersalin Kembar 9!

Wanita Mali Dijangka Hamil 7 Bayi, Rupanya Selamat Bersalin Kembar 9!

Kelahiran anak-anak kembar pastinya dinanti-nantikan bagi setiap pasangan suami isteri. Melihat keletah anak-anak yang comel, bergaya sedondon dan membesar bersam-sama. Kembar dua dan tiga mungkin perkara biasa, namun bagaimana jika ditakdirkan hamil dan bersalin kembar 9 sekaligus? Memang tak dapat dibayangkan situasinya.

Wanita Bersalin Kembar 9

Seorang wanita dari Mali selamat melahirkan bayi kembar sembilan di Maghribi, kata kerajaan negara itu walaupun pihak berkuasa Maghribi masih belum mengesahkannya.

Halima Cisse, 25, berasal dari sebuah wilayah miskin di Barat Afrika, pada mulanya dijangka bakal melahirkan bayi kembar tujuh, berdasarkan ujian ultrasound yang dijalankan di Mali dan Maghribi. Cisse diterbangkan kerajaan Mali ke Maghribi bagi mendapatkan penjagaan kesihatan yang lebih baik.

Namun demikian doktor terlepas pandang pada 2 orang lagi bayi menjadikan jumlah keseluruhan 9 bayi kembar selamat dilahirkan secara pembedahan caesarean.

Ibu Dan Bayi Keadaan Sihat

Kementerian Kesihatan Mali dalam satu kenyataan memaklumkan Cisse selamat melahirkan lima bayi perempuan dan empat bayi lelaki menerusi pembedahan .

“Ibu dan semua bayinya berada dalam keadaan baik,” menurut Menteri Kesihatan Mali, Fanta Siby, yang menerima maklumat mengenai perkembangan terbabit menerusi doktor Mali yang menemani wanita berkenaan.

Siby berkata lagi, ibu dan semua bayinya dijangka pulang dalam tempoh beberapa minggu lagi.Siby turut mengucapkan tahniah kepada pasukan perubatan di Mali dan Maghribi yang amat profesional dalam menyambut kelahiran semua bayi berkenaan.

Menurut media tempatan, namun doktor menzahirkan kebimbangan dengan tahap kesihatan Cisse dan kelangsungan hidup bayi-bayi kembar yang dilahirkan. Ini kerana kelahiran bayi kembar 9 sangat jarang berlaku, malah kebarangkalian selalu berlaku komplikasi kesihatan memandangkan kerana bayi dilahirkan tidak cukup bulan.

Namun demikian, Jurucakap Kementerian Kesihatan Maghribi, Rachid Koudhari, berkata pihaknya tidak mendapat sebarang maklumat bahawa ada kelahiran sedemikian di mana-mana hospital di negara itu. | MW

COMMENTS