[VIDEO] Ayob Khan tunjuk aksi tebar roti canai

[VIDEO] Ayob Khan tunjuk aksi tebar roti canai

JOHOR BAHRU: Di sebalik ketegasan memburu penjenayah, aksi Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan kemahiran menebar roti canai mencuri tumpuan pengamal media pada program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini awal pagi tadi. 

Terdahulu, Ayob Khan menyambut kehadiran rombongan KMJ yang diketuai Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang hadir ke IPK Johor sebagai lokasi terakhir.

Ayob Khan berkata, program Singgah Sahur itu dilihat dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara kerajaan negeri, agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan industri media. 

“Dengan adanya kerjasama seumpama ini, ia dapat memantapkan lagi sebarang penyaluran maklumat termasuk aktiviti yang berkaitan.

“Sumbangan media daripada segi laporan berita yang dikongsikan berhubung kejayaan polis Johor amat besar ertinya. 

“Dari segi perkongsian media dan laporan kejayaan polis, Kontinjen Johor merekodkan jumlah yang paling tinggi berbanding negeri lain. Ini adalah sumbangan media dalam membantu menaikkan imej PDRM itu sendiri di Johor,” katanya.

Ayob Khan melengkapkan acara penutup program Singgah Sahur dengan ‘menjamu’ pengamal media dengan mempamerkan kemahiran menebar roti canai kepada peserta program berkenaan. 

KMJ meneruskan tradisi menganjurkan program Singgah Sahur menyantuni petugas barisan hadapan dengan mengagihkan juadah bersahur kepada mereka.

Terdahulu, konvoi yang disertai kira-kira 30 ahli KMJ itu mengagihkan sajian sahur ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Stadium Tertutup Pasir Gudang, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Dalam pada itu, Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak, berkata program tahunan yang dijalankan sejak 2015 itu bertujuan memberi penghargaan kepada pasukan keselamatan dan perubatan yang bertugas.

“Selain menghargai jasa petugas barisan hadapan yang sentiasa menjalankan tugasan tanpa mengira masa dan lokasi ketika pandemik Covid-19, ia antara lain sebagai tanda sokongan kami terhadap mereka,” katanya.

Tahun ini, KMJ mendapat kerjasama Yayasan Johor Corporation (JCorp) bagi pengagihan makanan, selain kerjasama PDRM yang bersama-sama mengiringi rombongan Singgah Sahur.

COMMENTS