Suspek mati selepas tetak anak saudara

Suspek mati selepas tetak anak saudara

SHAH ALAM – Seorang lelaki yang menetak anak saudaranya berusia setahun sehingga maut sebelum ini disahkan meninggal dunia semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek berusia 27 tahun itu meninggal dunia kira-kira pukul 6.37 petang hari kejadian selepas menerima rawatan selama 30 minit di Hospital Tanjong Karang.

Katanya, suspek terlebih dahulu ditangkap pukul 1.30 petang selain turut merampas sebilah parang panjang dengan tangkapan awal dilakukan pihak awam.

“Semasa tangkapan semula itu dibuat, polis mendapati suspek mengalami kecederaan dipercayai akibat pergelutan antara ahli keluarga dalam usaha menangkap suspek.

“Suspek kemudiannya telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor untuk tindakan lanjut namun didapati lemah kira-kira pukul 4 petang sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berita berkaitan: Kanak-kanak perempuan setahun maut ditetak

Beliau memberitahu, keluarga suspek telah dihubungi dan dimaklumkan berhubung kejadian tersebut.

Tambah Arjunaidi, bedah siasat akan dilakukan selepas pihak hospital mendapat keputusan ujian saringan Covid-19.

“Satu laporan polis telah dibuat keluarga lelaki itu agar siasatan dilakukan bagi mendapatkan punca sebenar kematian suspek.

“Sehubungan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah membuka kertas siasatan dan ditumpukan kepada aspek prosedur operasi standard (SOP) Duty Of Care dan kelakuan jenayah semasa mengurus suspek,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, punca pergaduhan sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun mati ditetak suspek adalah disebabkan isu kewangan.

“Pergaduhan itu melibatkan sesama ahli keluarga. Ibu kepada kanak-kanak berkenaan juga mengalami kecederaan,” katanya.

Kosmo! terdahulu melaporkan seorang bayi perempuan berusia setahun maut ditetak bapa saudaranya sendiri dalam satu kejadian di Kampung Parit Mahang di sini semalam. – K!ONLINE

COMMENTS