Sokong bendera putih tanda hati tidak hitam, kibar bendera hitam bukti hati sentiasa putih

Sokong bendera putih tanda hati tidak hitam, kibar bendera hitam bukti hati sentiasa putih

Sementara kibaran bendera putih telah banyak berbakti di merata pelusuk negara sejak ia dijadikan tanda seseorang itu perlukan bantuan, semalam pula media sosial hampir sarat dengan kibaran bendera hitam yang menghitamkan alam maya.

Jika bendera putih dikibarkan sebagai tanda masih ramai yang perlukan bantuan dan pertolongan, kibaran bendera hitam adalah isyarat kegagalan PN sebagai sebuah kerajaan.

Ia seterusnya disusuli dengan tuntutan agar Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin meletakkan jawatan, menyegerakan pembukaan Parlimen dan menamatkan proklamasi darurat.

Dengan Covid19 gagal ditangani dan ekonomi tidak berjaya diuruskan, kegagalan kerajaan itu telah menyebabkan ramai rakyat yang menderita, kelaparan, tersepit dengan hutang dan tidak kurang yang mengambil jalan mudah untuk mengambil nyawa sendiri.

Sesungguhnya, disertai dengan pemandangan ramainya orang beratur untuk menerima bakul makanan dan yang kelaparan di sana-sini, ini adalah keadaan yang tidak pernah sama sekali kita bayangkan akan berlaku.

Sebab itu, inisiatif mengibar bendera putih sebagai tanda bantuan diperlukan begitu mendapat sambutan daripada pelbagai pihak.

Hanya dengan meletakkan bendera atau kain putih di luar rumah, mereka yang dalam kesusahan tidak perlu lagi pergi atau menghubungi pejabat wakil rakyat, pejabat penghulu dan sebagainya, sebaliknya bantuan yang diperlukan akan segera sampai ke rumah mereka.

Sudah terbukti sejak beberapa hari lalu mereka yang didapati ada bendera putih terus memperolehi bantuan sama ada daripada pejabat wakil rakyat, syarikat atau pasaraya dan pihak tertentu dalam kejiranan masing-masing yang secara sukarela menunjukkan keprihatinan.

Makna kata, inisiatif bendera putih telah berjaya merangsang jiwa-jiwa yang tidak hitam untuk turut sama memberi bantuan sesama manusia ketika ramai orang dalam kesusahan sebegini.

Hanya mereka yang berhati hitam saja sanggup menolak kebaikan daripada mengibar bendera putih ini.

Lebih jahat dan terkutuk apabila ada pemimpin tertentu yang enggan memberi bantuan jika kesusahan mereka dikesan melalui kibaran bendera politik.

Entahlah…apa jenis hati yang ada dalam tubuh mereka?

Sebagaimana menyokong, menolong dan membantu inisiatif mengibar bendera putih adalah tanda hati tidak hitam, turut sama mengibar bendera hitam juga memberi maksud yang sama.

Mereka yang menyokong kibaran bendera hitam bererti mereka memiliki hati yang sentiasa putih lantaran kegagalan PN dan Mahiaddin ini sudah tidak boleh dibiarkan lagi berterusan.

Memandangkan Mahiaddin hanya memikirkan bagaimana untuk mengekalkan kuasanya semata-mata, beliau hampir tidak berfikir langsung soal kebajikan dan keperluan rakyat, kecuali jika setelah sangat-sangat terdesak.

Menguatkuasakan darurat, menggantung Parlimen dan berdolak-dalik berkenaan pembukaan Sidang Parlimen, walaupun sudah tiga kali dititahkan oleh Agong adalah tanda seburuk-buruk kerajaan dalam sebuah sistem demokrasi berparlimen.

Dengan itu, selain berlarutan dicengkam kesusahan, rakyat akan terus berada di dalam penderitaan jika Perdana Menteri tidak segera ditukarkan.

Perdana Menteri yang hanya memikirkan soal kuasa, tambahan tanpa keabsahan dan diperolehi melalui pintu belakang, akan sentiasa berfikir tentang mengekalkan kuasa saja sehingga ke akhir kariernya.

Hanya Perdana Menteri baru yang diyakini memiliki sokongan majoriti dapat mengubah keadaan negara ini menjadi lebih baik dan menjadikan kehidupan rakyat lebih terbela.

Bendera putih adalah isyarat rakyat perlukan bantuan, manakala bendera hitam bagi menghantar mesej agar Mahiaddin faham untuk segera meletak jawatan, kalau pun tidak akan disingkirkan melalui suatu kebangkitan.

Menyokong kedua-duanya menunjukkan hati kita sentiasa putih dan tidak hitam.

ShahbudinHusin

COMMENTS