Sindiket dadah Ah Chuan tumpas

Sindiket dadah Ah Chuan tumpas

JOHOR BAHRU: Polis Johor berjaya membongkar kegiatan sindiket Ah Chuan dengan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.05 juta dalam operasi khas melibatkan enam serbuan di daerah ini antara Selasa hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat rampasan dadah itu susulan penahanan 10 suspek berusia 21 hingga 51 tahun termasuk seorang wanita.

Katanya, ekoran penahanan itu, polis berjaya membongkar operasi sebuah stor pemprosesan serbuk ekstasi di sekitar Johor Bahru dan merampas 49 kilogram (kg) serbuk ekstasi bernilai RM2.96 juta.

“Selain itu, antara dadah yang dirampas adalah 2.1kg syabu; 450 gram (g) heroin; 3.8g ganja; 110g magic mushroom; 12g ketamin; 10 biji pil eramin 5 dan lima biji pil ekstasi yang bernilai RM88,000.

“Modus operandi kegiatan sindiket dadah ini adalah dengan menyewa kondominium mewah berpengawal dan berpagar untuk dijadikan stor pemprosesan dadah.

“Sindiket ini dipercayai sudah beroperasi sejak setahun yang lalu dan dalang sindiket bernama Ah Chuan antara 10 individu yang diberkas,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.

Dalam serbuan tersebut, polis turut menyita lima buah kereta pelbagai jenis, merampas wang tunai berjumlah RM2,175 dan dua sitaan akaun bank dengan nilai RM1,584 serta merampas peralatan memproses dadah.

Ayob Khan berkata, rampasan dadah ini dijangka boleh digunakan oleh seramai 174,960 penagih jika terlepas ke pasaran.

Katanya, hasil saringan air kencing mendapati kesemua 10 suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

“Hasil semakan rekod mendapati tujuh suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Polis masih memburu saki baki sindiket Ah Chuan yang dipercayai masih bebas. Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. | UM

COMMENTS