Sidang Parlimen : Pagi menteri kata tak boleh, petang menteri lain kata boleh

Sidang Parlimen : Pagi menteri kata tak boleh, petang menteri lain kata boleh

Sikap flip-flop kerajaan mengenai pembukaan sidang Parlimen dikritik Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pihaknya pelik dengan nada dua menteri kerajaan yang dilihat berbeza pendapat mengenai pembukaan Parlimen yang tertangguh selama lima bulan itu.

“Alasan remeh malah tidak masuk akal itu tidak boleh diterima, yang dikatakan menteri berbeza pandangan itu sangat ketara.

“Tengahari, menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri) kata tidak boleh buat secara online, tak boleh berkumpul. Sebelah petang pula, menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen pula kata, tengah bincang untuk buat secara hibrid,” katanya dalam ucapan penggulungan dalam Kongres AMK yang berakhir hari ini.

Akmal merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang berkata, Parlimen hanya akan bersidang semula selepas negara berjaya mencapai imuniti kelompok terhadap Covid-19.

Hamzah berkata, jika dibenarkan, ia hanya akan mencetuskan lebih banyak kluster jangkitan.

Beberapa jam selepas itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula berkata, kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan sidang secara hibrid.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, kerajaan berjaya mengatur Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada 32 juta rakyat negara ini namun dilihat gagal untuk memastikan SOP kepada kira-kira 1,000 individu di Parlimen.

“Kalau betul menteri ada komitmen, kalau kerajaan boleh buat SOP untuk 32 juta rkayat Malaysia kenapa tidak boleh buat SOP untuk hanya 1,000 orang di Parlimen.

“Malah sebahagian besarnya mereka yang terlibat dengan Parlimen telah divaksin dengan alasan ahli Parlimen pun sebagai petugas barisan hadapan.

“Kalau betul tak boleh nak buka Parlimen wahai Pak Menteri, boleh lihat semalam PKR telah anjurkan Kongres Wanita, hari ini AMK esok Kongres Nasional pula akan melibatkan seluruh jentera parti,” sindirnya. – MalaysiaGazette

COMMENTS