Sidang Parlimen lima hari patut ditolak, Mahiaddin masih cuba derhaka titah Agong?

Sidang Parlimen lima hari patut ditolak, Mahiaddin masih cuba derhaka titah Agong?

Kerajaan PN akhirnya setuju untuk mengadakan Sidang Parlimen sebelum tempoh darurat berakhir pada 1 Ogos depan.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri petang tadi, kerajaan telah bersetuju untuk menasihati Yang Dipertuan Agong agar Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021.

Seterusnya ia akan diikuti dengan Sidang Dewan Negara selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos 2021.

Sekali imbas memang ternampak kerajaan PN dan Mahiaddin Md Yasin seperti akur dengan tuntutan pelbagai pihak sejak sekian lama agar Parlimen dibuka untuk persidangan bagi membolehkan proses semak dan imbang berjalan dengan sempurna, khususnya kata dua selama 14 hari oleh UMNO yang tempohnya berakhir semalam.

Ia turut menampakkan kerajaan PN dan Mahiaddin akhirnya akur dengan titah Agong berkenaan pembukaan Parlimen yang dititahkan sebanyak tiga kali sebelum ini.

Tetapi, jika diteliti kenyataan media tersebut, Sidang Parlimen yang bakal diadakan nanti tidak ubah sekadar melepas batuk di tangga saja.

Ini kerana Sidang Parlimen selama lima hari itu seperti tidak sebagaimana yang sepatutnya di mana ada perbahasan dan pengundian sebagai komponennya.

Memetik kenyataan media itu, ia menyebut, “Mesyuarat ini bertujuan untuk memberi penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid”.

Kenapa hanya penerangan saja diberi kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara?

Apakah ia bermaksud tiada perbahasan dan pengundian selepas penerangan dilakukan?

Selain itu, mengapa juga masih berbangkit untuk mengadakan Sidang Parlimen secara hibrid dan bukan bersemuka sepenuhnya, sedangkan semua Ahli Parlimen sudah pun diberi dua dos suntikan vaksin?

Lebih daripada itu, Menteri Penyelaras Vaksin, Khairy Jamaluddin pada 30 Jun lalu berkata, lebih 400 kakitangan Parlimen akan disuntik vaksin dengan segera di beberapa Pusat Pemberian Vaksin bermula hari tersebut (30 Jun) sebagai persediaan kiranya Sidang Parlimen diadakan dalam waktu yang terdekat ini.

Bermula 30 Jun dan menjelang 26 Julai akan datang, sudah tentu lebih 400 kakitangan tersebut telah pun selesai menerima vaksin, sekurang-kurangnya untuk dos pertama.

Jadi, bersama semua Ahli Parlimen sendiri sudah menerima dua suntikan vaksin, apa perlunya lagi Sidang Parlimen diadakan secara hibrid?

Kenyataan media Pejabat Perdana Menteri itu seterusnya menyebut, “Berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang Dipertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen (shall be laid before both Houses of Parliment).

Apakah Ordinan Darurat juga hanya sekadar dibentangkan kepada Ahli-Ahli Parlimen, tanpa sebarang perbahasan dan pengundian?

Jika sudahlah Pelan Pemulihan Negara pun hanya sekadar diberi penerangan, Ordinan Darurat pula dibentangkan saja, Sidang Parlimen apa namanya?

Setelah setengah tahun Parlimen digantung dan tidak bersidang, apakah cukup sebegitu saja Sidang Parlimen diadakan?

Mengapa tidak Pelan Pemulihan Negara dan Ordinan Darurat diadakan perbahasan dan pengundian dan Sidang Parlimen juga sepatutnya diadakan dalam tempoh yang lebih lama, misalnya selama tiga minggu?

Lagi pula, jika dirujuk kembali kenyataan media Istana Negara sebelum ini, adalah jelas Agong mahukan Pelan Pemulihan Negara dan Ordinan Darurat dibahaskan oleh Ahli-Ahli Parlimen sebagai proses dan imbang bagi kerajaan.

Mengapa Mahiaddin berdalih lagi terhadap titah Agong?

Adakah kerajaan PN dan Mahiaddin mahu dilihat derhaka sekali lagi? | ShahbudinHusin 

COMMENTS