Siasat audio tular, takkan polis tidak ada kerja lain?

Siasat audio tular, takkan polis tidak ada kerja lain?

KOTA BHARU: Tindakan polis menyiasat ketulenan rakaman audio perbualan telefon yang didakwa antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai pelik.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, perkara itu sudah tidak lagi relevan dibahaskan memandangkan mereka berdua telah membuat penafian secara terbuka.

“Saya rasa pelik apabila mereka sudah nafi…polis pula nak campur tangan dan nak sahkan ketulenan rakaman.

“Ini bukan isu jenayah. Takkan polis tidak ada kerja lain?. Satu kerja pula nak sahkan rakaman itu asli atau tidak,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Kesyukuran Makan Laksa Ambang Ramadan di Kampung Kubang Kachang, di sini hari ini.

Utusan Online hari ini melaporkan polis akan memanggil Ahmad Zahid dan Anwar untuk direkodkan keterangan masing-masing berhubung rakaman perbualan audio telefon yang sedang tular di media sosial.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, perkara itu merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) biasa selepas kertas siasatan terhadap sesuatu kes dibuka.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, sekiranya kerjasama antara PKR dan UMNO benar-benar dibincangkan, perkara itu hanya akan direalisasikan selepas pilihan raya umum.

“Sekarang ini, kita lawan.. PH teruskan perjuangannya yang telah disokong rakyat. Kita menang PRU-14 namun jatuh dikhianati, bukan kerana rakyat tolak kita. Maka kita jangan berbalah, tentukan pembangkang semua dapat bersatu.

“Kalau selepas PRU-15, akhirnya tidak dapat jumlah yang cukup untuk bentuk kerajaan, pada ketika itu barulah kita tengok kemungkinan-kemungkinan dengan pihak lain di luar pakatan,” katanya.

Ditanya kemungkinan untuk PH bekerjasama dengan Pas selepas PRU-15 pula, terutama dalam konteks perpaduan ummah, Khalid membayangkan ia merupakan perkara yang mustahil boleh berlaku.

“Bagi Amanah, yang penting adalah prinsip-prinsip perjuangan. Tidak ada guna kita bersatu dan bekerjasama atas dasar-dasar yang bercanggah dengan prinsip perjuangan.

“Kita tidak boleh ambil sikap, orang Islam semua akhirnya boleh bertaubat, akhirnya masuk syurga, maka kita boleh bekerjasama dengan orang Islam walaupun dia penyamun dan perompak,” katanya. – UM

COMMENTS