Shahidan cabar MT bertindak secara ‘anak jantan

Shahidan cabar MT bertindak secara ‘anak jantan

PETALING JAYA : Datuk Seri Shahidan Kassim yakin semua ahli Majlis Tertinggi (MT) ‘anak jantan’, cuma belum terkeluar lagi untuk membangkitkan pertanyaan kepada Presiden berhubung tindakannya menjalin kerjasama parti dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegasnya, walaupun beliau tidak tahu berapa bilangan ahli MT yang akan bertanyakan Presiden berhubung isu itu dalam mesyuarat petang ini tetapi ‘mereka dalam kalangan MT sepatutnya membangkitkannya’.

“Antaranya Lembaga Disiplin UMNO perlu mengambil tindakan terhadap usaha menjalin hubungan dengan Anwar yang melanggar keputusan parti.

“Kalau kata No Anwar tapi sokong Anwar, keputusan seharusnya diambil kepada orang yang sokong Anwar,” katanya pada sidang media, malam tadi.

Tambah Shahidan, beliau sepatutnya tidak dikecam kerana menghormati keputusan parti untuk meneruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Ada orang cakap saya agen Bersatu, sedangkan Bersatu komponen PN, tetapi sekarang UMNO keluar masa PRU nanti. Kenapa saya ditohmah dan diperlecehkan pula?

“Sekarang ni saya nak tanya, salah apa saya buat? Sekarang saya bekerjasama dengan Bersatu dan Pas, apa pula salah? Keputusan parti adalah tidak bekerjasama dengan Anwar dan DAP, siapa yang salah sebenarnya?

“Sepatutnya tindakan disiplin perlu diambil kepada orang yang sokong Anwar sebab parti tak sokong Anwar,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Shahidan turut memaklumkan pendedahan akan dibuat berhubung dakwaan usaha Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang cuba mengumpulkan tandatangan untuk menyokong Anwar baru-baru ini di Parlimen.

“Insya-Allah lepas raya saya akan keluarkan kenyataan berhubung gerakan ambil tandatangan menyokong Anwar yang dibuat agak dahsyat semasa di Parlimen baru-baru ini.

“Kita dapati ada satu surat yang telah ditulis Presiden kepada Agong dan disaksikan oleh Najib (Datuk Seri Najib Razak) dan surat itu kita diam sebab kita nak jaga hubungan harmoni politik. Selama ini saya simpan sebab ingin jaga aib kawan-kawan,” katanya lagi.

Berikutan pengguguran namanya daripada jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Perlis, Shahidan berkata beliau akur dengan keputusan parti kerana ia adalah hak Presiden.

“Kalau ikut kenyataan media saya tak boleh hadir mesyuarat . Saya tengah hubungi Setiausaha. Kalau benar, saya takkan hadir. Kita kena hormat,” ujarnya. | UM

COMMENTS