Remaja dakwa guru buat lawak rogol dalam kelas, Maszlee gesa disiasat

Remaja dakwa guru buat lawak rogol dalam kelas, Maszlee gesa disiasat

Seorang remaja perempuan mendakwa seorang guru lelaki membuat jenaka mengenai rogol ketika dalam kelas sehingga mencetuskan kemarahan di media sosial.

Ain Husniza Saiful Nizam, 17, berkata kata-kata yang tidak menyenangkan itu dibuat semasa pelajar membincangkan tentang gangguan seksual semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan di sekolahnya yang terletak di daerah Kuala Selangor, semalam.

“Kemudian kami bercakap tentang bagaimana undang-undang melindungi mereka yang bawah umur daripada penderaan dan gangguan seksual dan selepas itu dia kata ‘nanti korang nak rogol, jangan rogol yang bawah 18, korang rogol yang atas 18.’

“Kalau boys kena rape, it doesn’t get reported because the boys apparently sedap. (Kalau lelaki yang kena rogol ia tidak akan dilaporkan kerana mereka rasa sedap),” kongsi Ain.

Ain mendedahkan perkara itu dalam sebuah video di platform media sosial Tiktok, yang kemudiannya diciap di Twitter.

Menurutnya, pelajar-pelajar perempuan di dalam kelas itu terkejut mendengar lawak tersebut, manakala pelajar-pelajar lelaki di situ hanya ketawa.

Dia kemudian mendakwa bahawa guru tersebut memberitahu bahawa budak lelaki yang dirogol tidak melaporkan perbuatan itu sebab mereka rasa ‘sedap.’

Ain juga berkongsi tangkap layar di Twitter, yang dilaporkan mengenai aduannya berhubung lawak tersebut kepada kaunselor sekolah berkenaan.

Meskipun kaunselor itu meminta maaf bagi pihak guru tersebut, dia juga memberitahu bahawa remaja lelaki suka membuat lawak kasar, tetapi tidak menyimpan ia di hati.

Ketika dihubungi, Ain memberitahu Malaysiakini bahawa dia merancang untuk membuat aduan atas kata-kata yang tidak menyenangkan itu pada Isnin.

Sementara itu, ayahnya, Saiful Nizam Ab Wahab berkata bercadang membuat laporan polis mengenai perkara itu malam ini.

“Saya akan buat laporan polis berkenaan isu ini malam ini dan minggu depan saya akan ke sekolah untuk berjumpa dengan pihak sekolah.

“Pada saya ini sangat mengecewakan apabila seorang guru yang diberikan amanah dan kepercayaan mendidik menjadikan perkara seperti ini hal yang biasa.

“Lebih teruk lagi apabila secara tidak langsung menyuntik idea bahawa merogol itu boleh dilakukan, diterima sebagai sesuatu yang normal dan dijadikan bahan lawak semasa mengajar,” katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, guru harus lebih sensitif terhadap isu itu.

Dia turut meluahkan rasa kecewa dengan kaunselor sekolah berkenaan kerana didakwa seolah-olah tidak menangani perkara itu.

Malaysiakini cuba menghubungi sekolah tersebut untuk mendapatkan komen lebih lanjut.

Sementara itu, tweet Ain menarik perhatian bekas menteri pendidikan Maszlee Malik – yang meminta pengetua sekolah untuk menyiasat perkara itu.

“Rogol bukanlah jenaka, dan guru harus menekankan keselamatan, bukan sebaliknya,” katanya.

“Minta pengetua sekolah pelajar di bawah melihat isu ini secara serius. Minta siasat apa yang didakwa dan guru yang terlibat.

“Rogol bukan bahan lawak, dan guru harus menitipkan soal keselamatan bukan sebaliknya,” katanya. | MK

COMMENTS