Pengantin tersilap rumah

Pengantin tersilap rumah

Jakarta: Seorang pengantin lelaki bersama rombongan nyaris berkahwin dengan wanita lain selepas tersilap menggunakan ciri share location di Google Maps.

Menerusi laporan Tribunnews, pengantin wanita dikenali sebagai Ulfa, 27, berkata, pada awalnya dia tidak menyedari ketibaan pengantin lelaki dan rombongan terbabit kerana sibuk disolek.

Lebih pelik, keluarga pengantin perempuan tidak begitu mengenali ahli keluarga pengantin lelaki.

“Tetapi keluarga mengalu-alukan kehadiran mereka dan acara pertukaran hantaran juga diadakan.

“Bagaimanapun, seorang daripada rombongan itu secara tiba-tiba menyedari mereka tersilap rumah pengantin lalu bergegas keluar. Mereka dikatakan tersilap mengikut Google Maps dan memohon maaf,” katanya.

Menurut Ulfa, tunang dan rombongannya belum tiba kerana berhenti mencari tandas.

“Saya terkejut dan bingung kerana tidak mengenali sesiapa daripada ahli rombongan berkenaan. Saudara bertanya kepada mereka, siapa calon pengantin wanita dan ternyata bukan saya. Rombongan itu dari Pemalang sementara tunang saya dari Kendal.

“Akibat tersilap rumah, saudara membantu dan menghantarkan rombongan itu ke rumah pengantin wanita yang betul dengan jarak tidak jauh dari kampung ini.

“Kebetulan pada hari kejadian iaitu Ahad, terdapat dua majlis iaitu satu pertunangan dan satu lagi pernikahan hingga menimbulkan kekeliruan,” katanya. – HM

COMMENTS