Pelajar tak ikut PdPR patut digantung sekolah

Pelajar tak ikut PdPR patut digantung sekolah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan disaran menggantung persekolahan murid yang tidak mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan tegas wajar diambil jika ada murid yang tidak hadir sesi tersebut selama tiga hari berturut-turut tanpa alasan kukuh.

Selain itu, menurut beliau, kementerian berkenaan juga perlu melihat dari aspek teknikal dan teknologi yang mampu untuk memenuhi keperluan murid sepanjang menjalani sesi PdPR.

“Namun langkah dan sumber kewangan yang luar biasa amat diperlukan untuk menangani segala masalah yang timbul berkaitan proses PdPR.

“Kementerian juga harus ada ‘roadmap’ yang jelas untuk memulakan kembali sesi persekolahan secara bersemuka agar kebimbangan ibu bapa terhadap wabak Covid-19 di sekolah dapat dilenyapkan termasuk proses rehabilitasi untuk murid yang tidak dapat mengambil bahagian dalam PdPR,” kata beliau dalam kenyataan semalam.

Mahdzir berkata demikian ketika menyuarakan kebimbangan terhadap kehadiran muridyang kurang memberangsangkan semasa PdPR berjalan sepanjang sekatan pergerakan penuh dilaksanakan.

Ini berdasarkan hasil kajian Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendapati kehadiran murid dalam sesi berkenaan tidak mencapai 80 peratus.

Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dalam kajian bertajuk Covid-19 dan Ketidakseimbangan Pembelajaran pula mendapati 37 peratus daripada 900,000 murid tidak memiliki alat peranti sesuai.

Proses PdPR kali ketiga berlangsung lagi bagi semua murid sekolah di seluruh negara selama 25 hari sehingga cuti pertengahan penggal pada 16 Julai bagi negeri kumpulan A dan 17 Julai untuk negeri kumpulan B.

Pun begitu, Ketua Pasukan Khas Pendidikan Barisan Nasional (BN) itu enggan menyalahkan sesiapa kerana kekangan PdPR dipengaruhi pelbagai faktor selain sesi itu mempunyai pelbagai bentuk seperti online, offline dan offsite.

Justeru, kata beliau, ibu bapa harus mengambil peranan bagi memastikan anak mereka memasuki kelas dalam talian selain khidmat guru kaunseling diperlukan jika ada murid berasa bosan, tidak teruja belajar secara norma baharu dan penat menghadap skrin komputer atau gajet.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Padang Terap tersebut mencadangkan peruntukan tambahan lebih besar bagi bantuan komputer riba kepada murid dan penambahbaikan akses capaian internet di kawasan luar bandar apabila kerajaan membentangkan Belanjawan 2022.

Dilaporkan, setakat 12 Jun lalu sejumlah 40,290 unit komputer riba diserahkan kepada murid sekolah di seluruh negara hasil sumbangan daripada sektor korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – UTUSAN

COMMENTS