Muhyiddin kerap tunduk pada Azmin biarpun tidak dipersetujui menteri kanan lain

Muhyiddin kerap tunduk pada Azmin biarpun tidak dipersetujui menteri kanan lain

Sebuah portal berita melaporkan bahawa berlaku ketegangan antara dua menteri kanan kerajaan dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, portal tersebut mendakwa menteri kanan terbabit ialah menteri keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri dan menteri ekonomi Datuk Seri Azmin Ali.

Perkara ini turut disahkan oleh sumber TTF, yang memberitahu, berlaku adegan tepuk meja dan meninggikan suara melibatkan Ismail dan Azmin biarpun Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Saya difahamkan, bukan hanya Muhyiddin tidak dapat berbuat apa-apa, beliau dilihat lebih memihak kepada Azmin.

Sebenarnya, ketegangan ini sudah bermula sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 lagi dan memuncak apabila Muhyiddin memutuskan pada saat terakhir untuk membenarkan MITI memberi pengecualian kepada mana-mana perniagaan yang ingin beroperasi dalam tempoh “total lockdown.”

Saya difahamkan, terdapat rasa tidak puas hati di kalangan beberapa menteri UMNO, termasuk ismail Sabri, yang sebelum ini memberi lebih keutamaan kepada Muhyiddin berbanding kepimpinan UMNO dalam hal-hal melibatkan tadbir urus negara.

Menteri-menteri ini berpendapat bahawa Muhyiddin terlalu terikat kepada Azmin dan kerap tunduk pada kehendak Azmin biarpun melibatkan sesuatu yang tidak dipersetujui oleh menteri kanan lain.

Rasa tidak puas hati ini turut membabitkan beberapa menteri PPBM yang kecewa apabila MITI tiba-tiba dibenarkan untuk meluluskan operasi syarikat yang mungkin telah dihalang operasinya oleh kementerian lain.

Sepintas lalu, Azmin merupakan watak utama dalam Langkah Sheraton dan dalang di sebalik usaha menjadikan Muhyiddin Perdana Menteri ke-8 menerusi pengkhianatan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Maka tidak hairanlah jika Muhyiddin kerap tunduk pada kehendak Azmin dan menjadikan beliau menteri paling kanan dalam kerajaan gandingan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.

Pengkhianatan Azmin dan Muhyiddin turut melibatkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Muhammad Zahid Md Arip serta beberapa watak dari UMNO, termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak).

Bukan hanya Azmin dan Hamzah merupakan ‘jeneral utama” Muhyiddin, Hamzah memainkan peranan penting dalam usaha menumbangkan kerajaan negeri Sabah pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal hingga tercetusnya Pilihan Raya Negeri Sabah.

Namun, Hamzah dan Azmin dikatakan tidak begitu mesra lagi susulan ‘pengaruh’ Azmin ke atas Muhyiddin yang tidak disenangi ramai.

Menurut perkhabaran, sekumpulan besar pemimpin PPBM hairan bagaimana Azmin boleh melonjak naik terus ke Majlis Tertinggi Bersatu sedangkan beliau merupakan ahli baharu dan kurang layak berbanding beberapa pemimpin lain yang sudah lama bersama PPBM.

Berita penuh | TTF

COMMENTS