Menteri Kesihatan UK letak jawatan langgar SOP COVID-19

Menteri Kesihatan UK letak jawatan langgar SOP COVID-19

LONDON: Sehari selepas mohon maaf kerana melanggar sekatan pergerakan berikutan sebuah akhbar menyiarkan gambarnya memeluk mesra serta mencium seorang wanita, Menteri Kesihatan Britain, Matt Hancock memutuskan untuk letak jawatan.

Surat peletakan jawatan itu dihantar kepada Perdana Menteri, Boris Johnson.

Dalam surat berkenaan, Hancock berkata, beliau ambil tanggungjawab dengan apa yang berlaku.

Di laman Twitter pula, katanya, semasa pandemik, rakyat meletakkan harapan tinggi kepadanya dan beliau berhutang kepada mereka dalam situasi berkenaan.

Johnson pula berkata, beliau menerima peletakan jawatan Hancock dengan rasa sedih.

Dalam pada itu, Downing Street memaklumkan, bekas Canselor, Sajid Javid akan menggantikan Hancock untuk jawatan berkenaan.

Sebelum ini, akhbar tabloid memaparkan gambar menunjukkan Hancock yang sudah berkahwin dan seorang pembantu kanan berpelukan dan bercium di sebuah pejabat di Jabatan Kesihatan.

Gambar itu didakwa diambil daripada kamera litar tertutup (CCTV) pada 6 hingga 11 Mei sebelum peraturan sekatan pergerakan dilonggarkan untuk membolehkan pelukan dan hubungan fizikal lain di luar rumah sendiri.

Hancock segera memohon maaf selepas gambar itu tular dan mengakui melanggar sekatan pergerakan.

Serentak itu, pihak pembangkang mahu Hancock dipecat kerana secara terang-terangan melanggar perintah sekatan.

Selama berminggu-minggu Hancock menerima tekanan sejak bekas pembantu Perdana Menteri, Dominic Cummings menuduhnya menyebabkan kegagalan kerajaan dalam mengawal wabak COVID-19 di UK. | AO

COMMENTS