Kerana kekasih, budak sekolah pinjam ah long

Kerana kekasih, budak sekolah pinjam ah long

PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara menyaksikan banyak kisah-kisah individu tersepit masalah kewangan meminjam daripada ah long disiarkan di media sosial.

Meminjam ah long bagi kelangsungan hidup dan perniagaan.

Malah ada juga ibu bapa yang terpaksa meminjam ah long bagi membeli kelengkapan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) buat anak-anak mereka.

Ah long merupakan istilah popular bagi ‘ceti haram’, yang merujuk kepada orang perseorangan atau badan yang menawarkan pinjaman kewangan secara haram pada kadar faedah yang sangat tinggi.

Pinjaman ini juga akan disusuli dengan ugutan ataupun ancaman keganasan sekiranya peminjam gagal membayar mengikut jadual.

Pinjamannya mudah, tanpa perlu penjamin atau cagaran menyebabkan ramai daripada golongan peniaga dan individu terkesan kewangan mengambil jalan pintas ini biarpun mengetahui implikasi buruk yang menanti.

Pendedahan Persatuan Pengguna Islam Kelantan mengenai dua pelajar tingkatan lima meminjam ah long kerana mahu belanja kekasih dan terjebak judi online sangat mengejutkan.

Budak sekolah sudah pandai pinjam ah long!

Mereka ingat pinjam RM1,000 boleh digandakan dengan permainan judi online seterusnya dapat membayar pinjaman yang dibuat dengan ah long.

Malangnya, ia tidak semudah disangka, daripada hanya meminjam RM1,000 kini menanggung hutang hampir RM30,000.

Ketika ini sudah pasti keluarga yang menanggung beban, diugut minta dibayar hutang si anak.

Sebelum ini, akhbar pernah melaporkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun meminjam ah long untuk belanja makan dan minum serta memberi kemewahan kepada kekasihnya.

Pada mulanya dia menyangka hanya perlu membayar RM161 sebulan, namun akhirnya ditekan hingga ribuan ringgit.

Dimanakah salahnya kes ini. Bagaimana pelajar sekolah dan remaja ini boleh meminjam daripada ah long? Demi kekasih sanggup, tanpa fikir akibat.

Kisah ini perlu dijadikan pengajaran. Ibu bapa perlu lebih cakna kepada anak-anak remaja. Pelajar-pelajar ini juga perlu didedahkan bahaya gagal bayar hutang ah long sehingga boleh tergadai rumah, kereta dan nyawa.

Bahaya meminjam ah long perlu terus disebarkan, kerajaan dan media terutamanya stesen televisyen perlu lebih agresif menunjukkan kisah-kisah mangsa ah long.

Kementerian Pendidikan juga boleh masukkan dalam silibus sekolah mengenai akibat meminjam ah long. Ingatlah, seronok sekejap, derita berpanjangan. -K! ONLINE

COMMENTS