Kerajaan Kelantan mohon maaf batal bazar Ramadan

Kerajaan Kelantan mohon maaf batal bazar Ramadan

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan secara terbuka memohon maaf kepada seluruh peniaga susulan membatalkan bazar Ramadan secara ‘mengejut’ yang berkuatkuasa serta-merta.

Permohonan maaf itu disampaikan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin dalam sidang akhbar yang berlangsung di pejabatnya pada Ahad.

“Dengan penuh rasa dukacita…saya memohon kemaafan daripada masyarakat dan rakyat sekalian bahawasanya, kita terpaksa membatalkan kesemua bazar Ramadan yang telah diputuskan sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, pembayaran deposit bazar Ramadan yang dibuat oleh peniaga sebelum ini akan dikembalikan semula.

Beliau berkata, pembatalan bazar Ramadan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 ketika ini.

Tambah Dr Izani, seandainya kes baharu Covid-19 terus mencecah tiga angka sehari besar kemungkinan Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 berisiko rendah (PKRC) akan menjadi tepu.

Katanya, disebabkan itu kerajaan Kelantan mengambil langkah awal memutuskan rantaian Covid-19 dengan membatalkan bazar Ramadan.

“Selain bazar Ramadan, program Madinah Ramadan turut dibatalkan dan kita tukar menjadi PKRC,” katanya. – SH

COMMENTS