Hamid Bador sudah terlambat, beraninya hanya setelah tiada kuasa

Hamid Bador sudah terlambat, beraninya hanya setelah tiada kuasa

Meskipun apa yang diperkatakan oleh Hamid Bador dalam sidang media terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara semalam berkaitan campurtangan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dalam pasukan polis dan gesaannya supaya SPRM menyiasat amalan rasuah berhubung katak lompat parti dalam kerajaan adalah sesuatu yang baik, berani dan boleh diberikan pujian, tetapi tindakan beliau sebenarnya sudah pun terlambat.

Pendedahan dan gesaannya itu ketika tempatnya sebagai Ketua Polis Negara sudah diganti oleh Acyrl Sani Abdullah bermula 4 Mei nanti, dikira sudah tidak bermakna apa-apa lagi.

Ia hanya ibarat cakap kosong dan untuk melepaskan geram saja.

Jika Hamid mendakwa Hamzah sudah campurtangan dalam pasukan polis bermula sejak hari pertama dia dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, kenapa baru sekarang beliau mendedahkannya?

Sejak Hamzah dilantik pada 9 Mac 2020 hingga sekarang dan Hamid menyedari campurtangan Menteri Dalam Negeri dalam pasukan polis, apa yang Hamid telah lakukan sejak itu?

Cukupkah sekadar membangkitkannya kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara saja dan setelah menyedari tiada apa-apa perkembangan mengenai aduannya, kenapa beliau tidak mendedahkannya secara terbuka sebagaimana dilakukannya semalam?

Dalam sidang medianya semalam, Hamid mengatakan beliau mendedahkannya semua ini bukan disebabkan khidmatnya sebagai Ketua Polis Negara tidak disambung, malah beliau hanya mengetahui nama penggantinya itu setelah ia diumumkan oleh Hamzah dua hari lalu.

Persoalan di sini, apakah Hamid akan menyerang Hamzah dan mendedahkan campurtangan menteri berkenaan kiranya khidmat beliau disambung lagi?

Mengapa hanya setelah tiada lagi kuasa dan menuju persaraan, baru jadi berani untuk bersuara?

Bukankah bersuara menegakkan kebenaran ketika ada jawatan dan kuasa akan menjadikan ia lebih bermakna serta disanjung tinggi?

Begitu juga dengan gesaan Hamid agar SPRM menyiasat tindakan lompat parti dalam kerajaan sekarang yang dikaitkannya dengan amalan rasuah yang mungkin berlaku.

Apa yang diperkatakan Hamid itu bukan baru berlaku semalam, malah telah difahami wujud sejak terbentuknya kerajaan PN pada 1 Mac 2020 lagi.

Kenapa selama ini Hamid tidak pernah menggesa SPRM melakukan siasatan berkaitan katak lompat parti dalam kerajaan PN?

Lebih daripada itu, jika diteliti, aktiviti katak lompat parti ini sebenarnya bermula sejak era Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada 10 Mei 2020 lagi.

Hamzah sendiri adalah ketua geng lompat parti daripada UMNO untuk menyertai Bersatu bagi mengukuhkan kedudukan Tun Mahathir dan bagi mengelakkan bekas Pengerusi Bersatu itu melakukan janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Pernahkah Hamid bersuara tentang katak lompat parti dan kaitannya dengan rasuah pada ketika itu?

Kenapa setelah tiada lagi kuasa, baru berdentam-dentum bersuara menyerang katak lompat parti, tetapi ketika ada jawatan dan kuasa, diam membisu seribu bahasa? | SDC

COMMENTS