Bila lagi Mahiaddin mahu berhenti, Apakah menunggu rakyat menghambatnya?

Bila lagi Mahiaddin mahu berhenti, Apakah menunggu rakyat menghambatnya?

Adalah sesuatu yang sangat malang apabila negara sedang dalam keadaan krisis dan rakyat pula bertempiaran tanpa haluan untuk meneruskan kehidupan, tetapi wajah dan suara Perdana Menteri selaku ketua kerajaan langsung tidak kelihatan.

Di mana sebenarnya Mahiaddin Md Yasin ketika ini?

Bersembunyi di rumah kerana tengah bingung memikirkan masa depan?

Terlantar tidak sihat lantaran penyakit lama dikhabarkan mula menyerang kembali?

Tidak sedarkah Mahiaddin bahawa ada rakyat ketika ini bukan saja terlalu bergantung kepada bantuan daripada mana-mana pihak untuk meneruskan kehidupan, malah sampai berebut-rebut makanan bagi memastikan keluarga serta anak-anak tidak mati kelaparan?

Tidak sedar jugakah beliau ada rakyat yang sudah ke peringkat meminta-minta kepada sesiapa saja dek kerana kelapatan tiada makanan?

Kalau ketika kuasa dan jawatannya terancam, beliau boleh dengan segera mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi tujuan memastikan hayat kuasanya dapat dipanjangkan, kenapa dalam membela dan memastikan rakyat tidak mati kerana tak makanan, sepatah ayat atau sehelai kenyataan media dalam bentuk pdf pun tidak mampu dikeluarkan?

Dalam keadaan negara tidak stabil dan ramai rakyat sedang susah seperti sekarang ini, waima di negara yang tiada agama sekali pun, pemimpin mereka biasanya tidak menyembunyikan diri atau diam kaku begitu saja.

Konon mengaku PN ini kerajaan Melayu Islam, namun inikah perangai Perdana Menterinya?

Kalau tidak sihat atau tidak upaya lagi meneruskan kerja mengurus negara dan menjaga rakyat, bukankah lebih baik berhenti saja dengan segera?

Mahu tunggu apa lagi?

Kenapa terus-menerus menyeksa rakyat yang tidak berdosa?

Dalam keadaan kepimpinannya yang gagal berpanjangan dan rakyat sudah jadi semakin meluat serta benci kepadanya, Mahiaddin sepatutnya tidak berlengah lagi untuk mengundurkan diri.

Lagi lama beliau cuba bertahan dengan pelbagai helah, sedangkan rakyat makin menolaknya, ia hanya akan menambahkan lagi kebencian terhadapnya.

Lebih daripada itu, kedegilan untuk berundur itu juga memberi risiko yang buruk kepada Bersatu dan para pemimpinnya yang lain untuk menang lagi dalam PRU akan datang nanti.

Rakyat pasti akan melihat Bersatu dan pemimpinnya yang bersungguh-sungguh membela Mahiaddin sekarang sebagai kelompok yang bersekongkol dengan kegagan juga dan seterusnya enggan memberi undi lagi kepada mereka.

Dengan itu, kedegilan Mahiaddin sekarang ini bukanlah sesuatu yang baik, tidak saja kepada dirinya, tetapi juga kepada Bersatu khasnya dan PN amnya.

Risiko untuk mereka yang bersamanya sekarang terus ditolak adalah lebih besar berbanding kemungkinan diundi lagi.

Lagi lama berdegil dan enggan berundur, kemarahan rakyat turut jadi bertambah besar.

Apakah beliau hendak menunggu lebih ramai yang bunuh diri dan mati kerana tertekan dalam kehidupan, baru mahu sedar diri untuk berundur diri?

Kalau sampai ke tahap itu, tidak mustahil nantinya Mahiaddin akan menjadi Perdana Menteri pertama negara yang akan dihalau dan dihambat keluar oleh api kemarahan rakyat sebagaimana pernah berlaku di beberapa negara jiran dan di Timur Tengah sebelum ini.

Sejarah itulah yang Mahiaddin mahu tunggu?

Sumber

COMMENTS