Benarkan anak ‘ludah muka’ amah

Benarkan anak ‘ludah muka’ amah

PARIS: Seorang kerabat diraja Arab Saudi didakwa membenarkan anaknya ‘meludah ke muka pembantu rumah’ selepas satu pendedahan menunjukkan berlaku perhambaan moden di kediamannya di sini.

Siasatan di bawah dakwaan pemerdagangan manusia itu dibuat selepas tujuh pembantu warga Filipina memfailkan aduan terhadap Putera Faisal Bin Turki Bin Abdullah al-Saud, 44, pada Oktober 2019.

Pengerusi SOS Esclaves iaitu persatuan anti perhambaan Perancis, Anick Fougerox mendedahkan, Faisal memberi ‘kebenaran’ kepada anaknya meludah ke muka pembantu rumah dan menghukum mereka sekiranya kanak-kanak itu menangis.

Selain itu, kesemua pembantu rumah tersebut juga mendakwa mereka perlu melayani setiap kehendak kanak-kanak berkenaan walaupun untuk perkara yang tidak masuk akal.

“Pembantu rumah Faisal pernah membeli sebanyak tujuh jenis ais krim untuk diberikan kepada anaknya, namun bimbang jika kanak-kanak itu mengalami sakit perut.

“Mereka juga dipaksa untuk berjaga sehingga Faisal dan isterinya masuk tidur, kadang-kadang lewat sehingga 3 pagi dan perlu bangun seawal 7 pagi untuk memulakan tugas,” katanya.

Fougerox juga memberitahu, kesemua pembantu rumah itu pernah dipaksa tidur atas lantai dalam bilik kelamin Faisal bagi memastikan anak mereka yang ketika itu masih kecil tidak bangun menangis dan mengejutkan isterinya.

Katanya, insiden paling teruk apabila pembantu rumah terpaksa makan lebihan makanan Faisal dan isterinya, selain sering kelaparan pada waktu malam kerana perlu ‘bekerja’ tanpa makan.

Dalam pada itu, kedutaan Arab Saudi di Paris tidak memberi sebarang reaksi berhubung perkara tersebut.

Kesemua pembantu rumah itu berusia 38 hingga 51 tahun dan sudah berkhidmat untuk Faisal selama beberapa tahun. | UM

COMMENTS