Bakar mekanik berang kereta kerap rosak

Bakar mekanik berang kereta kerap rosak

PASIR SALAK – Polis memberkas tiga lelaki termasuk dua beradik selepas cuba membunuh seorang mekanik dengan membakar mangsa menggunakan petrol dalam kejadian di Kampung Tersusun Balun Bidai, Kampung Gajah di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 8 malam itu berlaku selepas salah seorang suspek berusia 50 tahun tidak berpuas hati dengan perkhidmatan mangsa yang didakwa menyebabkan kereta adiknya masih rosak walaupun sudah dibaiki.

Tindakan itu mengakibatkan mangsa berusia 37 tahun tersebut terbakar 46 peratus pada bahagian kepala hingga ke pinggang dan kaki sebelah kanan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, siasatan awal mendapati, berlaku pertengkaran mulut antara suspek dan mangsa sebelum lelaki itu meminta rakannya berusia 39 tahun membeli petrol.

“Suspek kemudian menyimbah petrol di atas kepala mangsa sebelum menyalakan api menggunakan penyembur aerosol.

“Nyalaan api tersebut telah menyambar mangsa yang berada di halaman rumah dan menyebabkan dia terbakar. Dua beradik itu yang panik bertindak memadamkan api dengan menggunakan air paip di luar rumah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, adik suspek berusia 42 tahun telah menghubungi seorang lagi rakan mereka untuk membawa mangsa ke Hospital Changkat Melintang dengan diberi upah RM100.

Katanya, suspek telah menukar baju dipakai mangsa sebelum dihantar ke hospital oleh lelaki berusia 30 tahun itu.

“Mangsa telah ditinggalkan di tempat letak kereta di hadapan wad kecemasan hospital. Pemeriksaan mendapati terdapat kesan terbakar pada tubuh mangsa yang ketika itu masih sedar dan mampu bercakap.

“Bertindak atas maklumat dan rakaman CCTV, pihak polis berjaya memberkas dua beradik itu dan dua rakan subahat mereka di lokasi berasingan di Kampung Gajah semalam (kelmarin),” katanya.

Ujar Barudin, pemeriksaan mendapati salah seorang suspek mempunyai kesan terbakar pada tangan kanan.

Kesemua suspek positif syabu selepas menjalani ujian air kencing dan mereka direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh. | KO

COMMENTS